Resipi Muffin Oreo

Teks: azrinbadrinas
Foto: koleksi sendiri

Alhamdulilah Akif hari ini merajinkan diri mengangkat baju di ampaian. Memang biasa itu adalah rutin harian Akif. Tetapi semasa Ramadan baru-baru ini, saya memberinya cuti sebab kesian dia berpuasa. Selepas raya, Akif macam lupa pula tugas hariannya. Pagi tadi sebelum ke tempat kerja, sempat saya berpesan pada Akif untuk menyambung tugasnya seperti biasa. Panjang juga pesanan saya hari ini. Walaupun anak lelaki, masa inilah saya rasa sesuai untuk memberi latihan kerja-kerja rumah. Terima kasih Akif sebab tolong mama. Kalau boleh biarlah setiap hari Akif rajin ye.

Saya pun terasa tempias kerajinan Akif, balik dari kerja terus sahaja rasa macam nak buat muffin. Bahan-bahan memang sudah mencukupi untuk satu adunan. Sebelum itu arahkan dulu teman baik untuk basuh baju. Saat muffin masak, kain pun telah sedia untuk disidai. Beginilah rutin saya setiap hari. Jika boleh saya akan selesaikan melipat dan menyidai baju sebelum Maghrib. Selepas Maghrib, sediakan makan malam untuk encik suami dan anak-anak. Selepas mereka mengaji, bolehlah saya melayan anak-anak bersama kerja sekolah mereka.

Muffin saya hari ini tidak memerlukan mixer, hanya menggunakan hand whisk sahaja. Agak mudah menyediakannya kerana tidak perlu nak keluarkan, pasang dan basuh mixer itu, memang menjimatkan masa. Saya pun sudah banyak kali cuba resipi ini, kalau kena caranya, InsyaAllah menjadi. Sambil mengacau tepung, beristighfarlah dan berdoalah supaya muffin kita sedap dan cantik. Seperti kata Chef Amar: masak dari hati, masak with iman.





Saya sertakan resipi muffin dari Kim.

  • 220g tepung naik sendiri (saya guna tepung gandum dan tambah 2 sudu teh double action baking powder) - double action baking powder adalah baking powder yang bertindak lebih 2 kali ganda dari baking powder biasa.
  • 1/4 -1/2 cawan minyak sayur (saya guna 1/2 cawan minyak masak saji)
  • 3/4 cawan susu (saya guna susu full cream dutch lady)
  • 1/2 - 3/4 cawan gula castor (saya masukkan 120g gula castor)
  • 1 biji telur - dipukul sedikit (saya guna saiz c)
  • 1 sdt esen vanila
  • 150g perisa - coklat cip, pisang yang dilenyek, epal yang disagat (saya masukkan 50g oreo hancur)
  • (Saya tambah 1 sdt gliserin untuk lebih moist)

- Cara-caranya:
  • Panaskan oven 180'c.
  • Campur semua bahan kering, gaul sebati dan buat lubang di tengahnya.
  • Campur semua bahan basah, gaul sebati dan tuang ke dalam tepung yang dilubangkan tadi.
  • Masukkan perisa. Saya masukkan oreo dan gaul sebati sahaja. Jangan terlebih adun dikhuatiri muffin akan menjadi keras.
  • Sudukan 3/4 ke dalam cawan kek dan bakar 15-20 minit atau sehingga perang.


Untuk resipi ini saya pernah cuba perisa:

  • Biasa
  • Bluberi - paipkan bluberi filling di tengah muffin
  • Coklat cip 
  • Coklat cair - paipkan coklat milk compound yang dicairkan di tengah muffin
  • Pisang - lenyekkan pisang
  • Oreo - campur oreo hancur
  • Cheese - taburkan cheddar cheese di atas muffin
Semua perisa di atas memang sedap. Tapi biasalah kan, coklat lebih digemari kanak-kanak.


Kalau anda tengok dalam foto di atas ada cawan tart kan? Petua dari cikgu muffin saya, jika nakkan muffin naik cantik, letakkan air semasa muffin dibakar. Sila letakkan bekas tahan panas ye puan-puan. Letakkan 3/4 je air tu sebab takut menggelegak nanti, air akan tumpah, rosak pulak muffin tu nanti.

Selamat mencuba untuk tetamu blog RIS.




Comments