Nasi Ambeng

Teks:azrinbadrinas
Foto: koleksi sendiri
Sumber: google

Jumaat lepas kami mengadakan potluck di pejabat. Seingat saya ini adalah kali ketiga jamuan raya diadakan. Pada potluck kali ini rakan sekerja saya membawa nasi ambeng. Kali pertama nak cuba nasi ambeng ni, sangatlah teruja. Dari cerita rakan sekerja, dalam nasi ambeng ada nasi, mee dan lauk-pauk. Macam mana rasanya nasi ambeng.


Inilah rupa nasi ambeng yang terdiri dari nasi putih, ayam masak kicap, ikan masin, sayur buncis dengan tempe dan suun dan serunding kelapa. Tanpa serunding kelapa, tidak lengkap katanya nasi ambeng ni. Rasanya macam nasi biasa juga, cuma cara dihidangkan sedikit berlainan. Ianya dibungkus bersekali dengan lauk masakan jawa.

sedikit info dari rakan blog mengenai nasi ambeng:

Nasi Ambeng merupakan salah satu makanan tradisional tempatan yang lazat dan masih popular dikalangan masyarakat melayu keturunan Jawa yang tinggal di kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Nasi Ambeng bukan sahaja popular dikawasan tersebut malah ia masih menjadi makanan yang masih digemari oleh masyarakat jawa yang sebahagian besar tinggal di Pulau Jawa Indonesia dan orang tua-tua mengatakan bahawa makanan ini berasal dari Pulau Jawa.


Selalunya makanan ini disediakan dalam majlis-majlis tertentu seperti kenduri arwah dan kenduri kesyukuran samada pada waktu malam atau tengahari. Simbolik dari penyediaan nasi ambeng adalah untuk menjimatkan kos dan kerja pengendalian majlis-majlis tersebut. Disamping itu pengamal nasi ambeng percaya amalan ini boleh membawa kerukunan atau kebahagiaan dalam keluarga.


Nasi Ambeng terdiri daripada Nasi Putih, Tempe, Kerisik, Rempeyek, Serunding Kelapa, Mee atau Bihun goreng, ayam dan lain-lain juadah pembuka selera termasuk buah-buahan. Makanan ini akan dihidangkan dalam dulang atau talam yang dilapik dengan daun pisang. Kebiasaannya satu hidangan Nasi Ambeng adalah untuk 4 orang.


Sebaik sahaja tiba waktu untuk makan Nasi Ambeng, tetamu akan menjamah sedikit sahaja secara ala kadar. Kemudian makanan ini akan dibahagikan kepada 4 bahagian dan dibungkus menggunakan daun pisang yang telah disediakan untuk dibawa pulang oleh tetamu. Apabila sampai dirumah semua ahli keluarga akan bersama-sama menikmati makanan ini.


Aktiviti ini dilakukan kerana kebiasaannya tetamu yang dijemput untuk menghadiri kenduri adalah ketua keluarga sahaja. Oleh yang demikian dengan cara ini hidangan Nasi Ambeng boleh dinikmati oleh seluruh ahli keluarga.

Comments